Sejarah Penulisan dan Pemeliharaan Al-Quran
Muqaddimah
الحمد لله الذى أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا , والصلاة والسلام على رسوله المصطفى وعلى آله وأصحابه ومن دعا بدعوته إلى يوم الجزاء. وبعد،
Al-Quran adalah Kitab Suci yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui Jibril sebagai panduan hidup seluruh umat disepanjang zaman. Ianya disampaikan kepada Rasululah dalam bentuk lafaz bacaan dan penulisan manakala penjagaannya adalah dibawah jaminan Allah sehingga ke hari Qiamat . Firman Allah :
إنا نحن نزلنا الذكر وإنا له لحـفظون
Maksudnya : " Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran dan Kami pasti akan menjaganya "
Penjagaan Al-Quran telah dapat dilihat sejak ianya diturunkan lagi, selain dari menghafaz dan menyimpannya di dalam dada , setiap kali Rasulullah S.A.W menerima wahyu daripada Allah, Baginda akan memerintahkan penulis wahyu supaya menulisnya. Sebaik sahaja Al-Quran selesai diturunkan semuanya telah tertulis dan disimpan oleh para sahabat di dada mereka ketika itu.
Kertas kerja yang ringkas ini akan cuba sedaya mungkin menerangkan sedikit sebanyak tentang sejarah penulisan Al-Quran dan perkembangannya. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada setiap pembacanya.
Makna Resam ( Penulisan )
Resam mengikut makna Imlai/qiasi ialah menggambarkan lafaz dengan huruf hijaiyyah " atau ringkasnya menulis . Manakala dalam kontek penulisan Al-Quran Resam Othmani adalah suatu penulisan yang dilakukan mengikut kaedah-kaedah tertentu yang merupakan ketetapan dari Allah melalui Rasulnya S.A.W.
Resam Al-Quran dikenali dengan nama Resam Othmani adalah disebabkan ianya dipelopori dan disusun dalam bentuk Mashaf dengan perintah Saidina Othman dizaman pemerintahannya.